Categories
EXCO SELANGOR

Rentak Selangor angkat identiti daerah untuk tatapan anak muda

SHAH ALAM, 2 DIS: Kelainan seni dan kebudayaan setiap daerah di negeri ini diangkat menerusi program Rentak Selangor, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata perbezaan itu perlu dipelihara untuk ditonjolkan kepada generasi muda selain dapat menghimpunkan penggiat seni seluruh negeri.

“Identiti setiap daerah berlainan, sebagai contoh Kuala Langat terkenal dengan cempuling, kalau di Sepang tarian piring manakala di Gombak budaya Orang Asli dan gendang sembilan.

“Sabak Bernam pula ada kuda kepang tetapi berlainan dengan di Johor. Kalau di sini agak ekstrem sedikit, ada harimau.

“Saya ucapkan tahniah kepada penduduk Sabak Bernam kerana mempunyai peminat. Kalau kita tengok tadi kanak-kanak dan anak muda begitu tertarik (persembahan seni),” katanya pada Program Rentak Selangor di daerah itu semalam.

Tambah beliau program itu juga untuk mendekati penggiat seni bagi mempromosi seni budaya kepada pelancong menerusi kerjasama dengan Tourism Selangor.

“Terbaharu, kita tambah dari segi sastera. Saya naikkan semula syair, pantun, sajak termasuk berbalas pantun.

“Kita juga akan angkat makanan tradisi orang Jawa iaitu nasi ambeng sebagai identiti negeri Selangor dan akan jadi daya tarikan kepada pelancong,” katanya.