Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Tahun Baharu besar-besaran dilarang, sekat varian Omicron

SHAH ALAM, 16 DIS: Kementerian Kesihatan mengumumkan sebarang sambutan Tahun Baharu secara besar-besaran tidak dibenarkan.

Menteri Khairy Jamaluddin dalam sidang media hari ini berkata keputusan itu adalah sebagai salah satu langkah menyekat penyebaran varian Omicron di negara ini.

Bagaimanapun katanya sambutan Tahun Baharu dan Krismas dalam skala kecil dan bersifat majlis peribadi dibenarkan namun perlu menjalani ujian Covid-19 terlebih dahulu.

“Kita perlu perkukuh dan pertingkatkan kesiapsiagaan kita berpandukan pelaporan varian Omicron di negara-negara lain,” katanya.

Khairy memberitahu, pengembara yang kembali dari United Kingdom mesti lakukan ujian pengesanan kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Katanya mereka perlu melaporkan keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera iaitu tujuh hari bagi yang telah lengkap vaksinasi dan 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksinasi.

Dalam pada itu katanya, sebanyak sembilan negara disenaraikan sebagai berisiko tinggi iaitu UK, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

“Lebih banyak negara berisiko tinggi yang akan diumumkan dan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi.

“Pengembara yang tiba dari negara-negara ini akan dipakaikan gelang pengawasan digital sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

Katanya Pusat Pemberian Vaksin Mega akan diwujudkan semula bagi mempercepatkan pelaksanaan program pemberian dos penggalak.

“Langkah ini akan dimulakan di Lembah Klang,” ujarnya.