Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Satu aplikasi untuk semua perkhidmatan dirancang, mudahkan rakyat

PETALING JAYA, 19 DIS: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bercadang mewujudkan aplikasi Super Apps yang menyediakan semua perkhidmatan dalam satu sistem mulai tahun depan.

Pengarahnya Dr Fahmi Ngah berkata aplikasi secara berpusat itu membolehkan orang ramai membayar bil, cukai, parkir dan menerima maklumat berhubung inisiatif Kerajaan Negeri.

“Banyak permintaan daripada rakyat Selangor yang mahu satu sistem menyediakan semua perkhidmatan kerana tidak mahu terlalu banyak memuat turun aplikasi dalam telefon.

“Seperti kita sedia maklum, parkir dan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ada aplikasi masing-masing serta mungkin satu peringkat nanti Kerajaan Negeri akan meneliti sama ada diwujudkan Super Apps gabungkan semua itu untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini semalam.

Mengulas mengenai aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat, Dr Fahmi berkata sebanyak 40,000 pengguna memuat turun sejak dua tahun dilancarkan.

CEPat diperkenal pada Ogos 2019 turut menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir, bil utiliti dan tambah nilai kad prabayar.

CEPat boleh dimuat turun di Google Playstore dan AppStore.