Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor belanja RM23.2 juta sedia kemudahan asas sekolah

KLANG, 11 DIS: Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM23.2 juta untuk bantuan infrastruktur kepada 637 sekolah seluruh negeri tahun ini.

Dana itu memanfaatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Kebangsaan Cina (SMJKC), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Mubaligh.

Peruntukan secara pemindahan dalam talian turut meliputi Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Bantuan diagih berdasarkan keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini mengikut borang permohonan yang perlu dilengkapkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan berjumlah RM9 juta kepada 137 SJKC, SMJKC, SMPC dan Sekolah Mubaligh di SMPC Ping Hwa di sini hari ini.

Amirudin berkata program bantuan sekolah tetap diteruskan meskipun negara berdepan pandemik Covid-19 bagi memperkasa sektor pendidikan negeri ini.

“Sektor pendidikan sangat banyak diperkatakan di media arus perdana dan media sosial sama ada melibatkan guru, infrastruktur sekolah, kandungan pengajaran serta pembelajaran.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan infrstruktur sekolah dengan hasrat agar pelajar dapat belajar dalam persekitaran selesa dan kondusif,” katanya.