Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor lantik pasukan bebas pantau pelaksanaan Belanjawan 2022

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri akan melantik pasukan bebas bagi memantau pelaksanaan inisiatif dan projek yang terkandung dalam Belanjawan Selangor 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan segala yang diatur dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Kerajaan Negeri belajar dari pengalaman lalu dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan di samping meneroka perkara-perkara baharu untuk kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak lupakan aspek pemantauan projek yang diumumkan…kita akan melantik dan mengetengahkan pasukan bebas supaya pelaksanaan dan pencapaian projek dibuat dengan baik,” katanya.

Berucap dalam penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Amirudin berkata aspek perolehan, ketelusan dan integriti perlu dipertahankan kerana ia diutamakan rakyat.

Pada 26 November, Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2022 dengan anggaran perbelanjaan RM2.34 bilion untuk meningkatkan manfaat kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negeri.

Amirudin berkata belanjawan yang mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan RM2.323 bilion mengalami defisit sebanyak RM222.7 juta.