Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor lulus RM10.7 juta perkukuh program pusat penilaian Covid-19

SHAH ALAM, 7 DIS: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan peruntukan RM10.7 juta untuk meneruskan dan memperkukuh program pengurusan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan itu juga untuk pemantauan pesakit yang menjalani kuarantin kendiri melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Ini kesiapsiagaan kita dalam berdepan kemungkinan arus baharu atau peningkatan kes baharu Covid-19 dengan penemuan varian Omicron yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya perebakan.

“Sebagai respon kepada permasalahan dan kekangan ini, Kerajaan Negeri juga akan menyumbang peralatan diperlukan setiap CAC seperti komputer riba, tablet, mesin pencetak dan oximeter bernilai RM298,988 di mana sumbangan akan disalurkan melalui JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bekata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan 618,980 rekod pemantauan pesakit telah direkodkan menerusi aplikasi SELangkah setakat 26 November lalu.

“Sepanjang pelaksanaannya, sistem SELAngkah telah mengenal pasti 38,809 kes di mana status kesihatan pesakit merosot semasa menjalani isolasi di rumah,” katanya.

Pada 24 Julai, Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala menjalani kuarantin selama 10 hari di rumah.

Timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) berkata individu terbabit perlu melapor diri secara dalam talian menggunakan aplikasi MySejahtera atau Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Ujian Covid-19 lebih mengutamakan individu bergejala (simptomatik).

“Bagaimanapun semua kes simptomatik masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian atau fizikal di CAC atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan,” kata Datuk Dr Chong Chee Kheong menerusi kenyataan.