Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor setuju ECRL melalui jajaran utara, mahu kesan alam sekitar diambil kira

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kerajaan Selangor bersetuju menerima cadangan kerajaan persekutuan berhubung laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui jajaran utara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berharap agar projek itu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain antaranya penempatan kampung tradisi dan Orang Asli.

“Kita telah memperhalusi laporan kesemua 37 sesi libat urus projek ECRL bersama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 17 November 2021 dan 24 November 2021.

“(Kerajaan Negeri) telah bersetuju untuk menerima cadangan jajaran utara ECRL dan meluluskan jajaran Seksyen C ECRL melibatkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Projek ECRL dan Pertukaran Dokumen Laluan Seksyen C (jajaran utara) antara Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd  dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Amirudin berkata kelulusan jajaran utara juga berdasarkan kepada makluman pihak Kementerian Pengangkutan dan MRL Sdn Bhd bahawa projek itu tidak menjejaskan kawasan berisiko seperti
Permatang Kuarza Gombak yang kini dalam proses pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Oleh itu, MMKN setuju untuk segerakan pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 bagi membolehkan kerja awalan projek ECRL seperti pengukuran dan penyiasatan tanah dijalankan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Selangor juga berharap reka bentuk terperinci ECRL dan penyediaan pelan pengambilan tanah mengikut Seksyen 8, APT 1960 dapat dijalankan awal tahun depan seterusnya membolehkan permulaan kerja fizikal bagi menyempurnakan jajaran utara ECRL.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri  juga menyokong pembinaan lima stesen ECRL di  Selangor, dengan tiga stesen iaitu ITT Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam, Klang dilaksanakan di peringkat awal.

Sementara itu katanya dua stesen ECRL iaitu Puncak Alam dan Kapar sudah ditetapkan sebagai stesen perancangan masa depan dan bakal dibina mengikut keperluan.

Pada Oktober Amirudin menegaskan Selangor kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan bagi projek ECRL yang melibatkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.