Categories
PENDAPAT RENCANA

Selangor tahan uji, cekal hadapi wabak

Oleh AMIRUDIN SHARI

Di saat saya membentangkan Belanjawan Negeri Selangor di dewan yang mulia ini pada tahun lalu, seluruh dunia masih dalam keadaan kegelisahan disebabkan pandemik Covid-19 yang seakan-akan tidak mempunyai jalan akhirnya.

Pada ketika itu, kita tidak membayangkan bahawa vaksin Covid-19 dapat dihasilkan dan diberikan kepada sebahagian besar masyarakat di dunia, negara dan juga negeri Selangor sebelum akhir tahun ini.

Alhamdulillah dengan kedayatahanan dan kecekalan rakyat, kita dapat mencapai matlamat memberi vaksin kepada seramai mungkin warga negeri Selangor dalam masa yang singkat.

Namun begitu, kita tidak harus leka. Kini kita dapat lihat bahawa pandemik Covid-19 tidak mampu dilenyapkan begitu sahaja dan kita dalam proses beralih ke fasa endemik seperti yang saya tekankan di dewan ini pada bulan Ogos tahun ini.

Endemik ini bermaksud seluruh masyarakat harus melakukan perubahan kepada cara hidup kita bukan hanya untuk waktu yang singkat tetapi dalam jangka masa panjang ataupun long haul.

Pada tahun lalu dan tahun ini, rakyat di Selangor hidup hampir keseluruhannya di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Kehidupan ketika PKP ini banyak menguji dan mengajar serta mengasah kita. Semua aspek kehidupan kita diuji dan diasah. Dari segi kesabaran, ketabahan, ketahanan.

Api membakar

Walaupun ujian-ujian ini amat mencabar kedayatahanan kita, seperti api yang membakar, ia juga menerangi dan memberi pengajaran kepada kita.

Begitu juga dengan negeri Selangor. Simpang-siur pandemik banyak memberi tekanan kepada ketahanan Kerajaan Negeri dan mendesak kita mara ke hadapan dan mencari solusi kepada permasalahan yang timbul disebabkan pandemik.

Situasi pada ketika itu mengingatkan saya kepada karya seni yang terkenal iaitu Under the Wave off Kanagawa oleh artis terkenal Jepun, Katsushika Hokusai atau lebih dikenali sebagai Hokusai. Kanagawa oki nami ura yang diterbitkan pada tahun 1831 kemudiannya menjadi antara karya seni Jepun yang paling ikonik dan mengilhami pelbagai tafsiran berdasarkan siluet yang dihasilkan oleh Hokusai.

Edmond de Goncourt, seorang pengkritik seni di Perancis pernah berkata, dengan izin, “The drawing of the wave is a deification of the sea made by a painter who lived with the religious terror of the overwhelming ocean completely surrounding his country; He is impressed by the sudden fury of the ocean’s leap toward the sky, by the deep blue of the inner side of the curve, by the splash of its claw-like crest as it sprays forth droplets”.

The Great Wave of Kanagawa

Komentar lain pula menyimpulkan bahawa Hokusai ingin memberi gambaran walaupun Jepun yang seringkali terdedah kepada tsunami, kecekalan rakyat dan ekonominya sekuat Gunung Fuji yang merupakan kebanggaan rakyat Jepun.

Talian hayat

Karya Hokusai ini juga menggambarkan peralihan dari era zaman Tokugawa di Jepun serta permulaan Kebangkitan Meiji selepas Tokugawa dijatuhkan oleh puak Choshu dan Satsuma.

Kebangkitan ini berjaya memodenkan Jepun dengan beberapa perubahan dan reformasi struktural sekali gus memposisikan negara yang dilihat sebagai kecil dari segi saiznya kepada sebuah kuasa besar dunia.

Perubahan-perubahan dinamik seperti sistem kerajaan berdemokratik, sistem pendidikan yang mengangkat martabat rakyat, serta sebuah ekonomi dengan industrinya yang berkembang pesat merupakan batu-batu asas yang memberikan talian hayat kepada Jepun bangkit kembali selepas tarikh 2 September 1945 apabila Mamoru Shigemitsu, menteri luar Jepun, dan Jeneral Yoshijiro Umezu menandatangani instrument of surrender di atas USS Missouri yang berlabuh di Teluk Tokyo yang mengakhiri Perang Dunia Kedua.

Dua puluh lapan tahun kemudian, kereta pertama jenama Honda Civic dijual di Amerika Syarikat. Pada tahun 1978, Jepun menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia dan pada tahun 1980, 30 peratus kereta di Amerika Syarikat berasal dari Jepun.

Dalam pada itu, seperti yang saya katakan sebentar tadi, Selangor dikritik apabila kita mula melancarkan beberapa inisiatif-inisiatif tambahan ketika pandemik Covid-19 baru bermula.

Saringan Covid-19

Hari demi hari, setiap tindak tanduk negeri Selangor disoal, ditekan dan dipertikai. Kita melancarkan sistem pengesanan kontak ataupun contact tracing pertama di negara melalui SELangkah. Disusuli pula dengan usaha digitalisasi seperti e-Dapur sewaktu bazar Ramadan tahun 2020 dan 2021 serta e-Bazar Raya dengan kerjasama pihak swasta.

Kerajaan Negeri juga melancarkan lima Pakej Rangsangan Ekonomi, iaitu tiga Pakej Selangor Prihatin pada tahun 2020 dengan implikasi kewangan sebanyak RM415 juta dan dua Pakej Kita Selangor pada tahun 2021 dengan implikasi kewangan sebanyak RM627 juta selain daripada Belanjawan 2021, yang mana kesemua 5 pakej ini berjumlah melebihi RM1 bilion yang diberikan secara terus melalui pelbagai program kepada setiap lapisan masyarakat di negeri Selangor.

Kita tidak berhenti setakat di situ sahaja. Kerajaan Negeri juga tampil ke hadapan melaksanakan lebih 177,000 saringan Covid-19 dengan prinsip FTTIS (iaitu find, test, trace, isolate, support) yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dilaksanakan di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor.

Malah, ketika muncul pandangan-pandangan skeptikal yang mempersoalkan keputusan Kerajaan Negeri untuk memperoleh vaksin sendiri dan memberikannya kepada rakyat, Selangor terus istiqamah dan berjaya melaksanakan Vaksin Selangor (Selvax) yang kemudiannya menjadi inspirasi kepada beberapa usaha lain di luar Selangor.

Bukan kebal

Namun dengan kefahaman dan keterbukaan serta kerjasama Kerajaan Persekutuan terutamanya dalam soal mempercepatkan pemberian bekalan vaksin secara saksama, program-program negeri Selangor dilaksanakan secara kemas dan lancar.

Hari ini, saya bersyukur bahawa dengan semangat Kita Selangor, usaha-usaha kita termasuk dengan kerjasama Ahli-ahli Dewan Negeri disenangi dan dihargai oleh seluruh rakyat.

Kesemua usaha dan cabaran ini membuktikan bahawa walaupun terus ditekan dari pelbagai aspek, negeri Selangor tahan uji disebabkan pelbagai inisiatif dan usaha perubahan yang  dimulakan sejak tahun 2008 lagi.

Waima demikian, tahan uji tidak bermaksud Selangor kebal. Sudah pasti kita mengalami kesusahan dan kecederaan akibat perang melawan penularan wabak Covid-19.

Namun, saya berani untuk nyatakan di sini bahawa kita masih utuh dan mampu bangkit kembali. Tahan uji membolehkan Selangor menterjemahkan keupayaan negeri ini untuk bertindak secara tangkas dan pantas apabila berhadapan dengan situasi yang mendesak.

Kita harus akui terdapat beberapa perubahan yang terpaksa dilakukan, beberapa tanggungjawab baharu dipikul yang membina karakter pentadbiran ini dan seluruh rakyat negeri ini. Ini merupakan asas untuk negeri Selangor bangkit kembali dan mengukuhkan sebuah pentadbiran yang mampu menghadapi pelbagai bentuk rintangan dan juga cabaran.

  • Petikan ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021