Categories
SELANGOR

Serangan hama tidak luntur semangat pengurusan pangsapuri usahakan tanaman

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerosakan tanaman ekoran serangan hama akhir tahun lalu tidak melunturkan semangat badan pengurusan bersama (JMB) Pangsapuri Seri Bakawali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor untuk bangkit mengusahakan kembali laman hijau.

Pengerusinya berkata meskipun terkejut dengan serangan penyakit pada tanaman campuran, cili bara dan terung yang dikerjakan atas tanah seluas hampir seekar, namun 10 peserta laman hijau pangsapuri terbabit tidak berputus asa.

Pengerusi JMB Pangsapuri Sri Bakawali Zawawi Mohd Amin

Sebaliknya, Zawawi Mohd Amin, 54, berkata pihaknya berganding bahu mencari jalan penyelesaian supaya empat laman hijau diusahakan sejak 2018 mampu diaktifkan kembali demi manfaat 250 keluarga di pangsapuri terbabit termasuk penduduk berhampiran.

“Ketika itu, kami perlu melalui cabaran yang begitu berat dan tidak menyangka penyakit itu merosakkan seluruh tanaman yang dikerjakan sejak beberapa tahun lalu.

“Kami tidak menyerah kalah dan terus membuat aduan kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor sebelum mereka turun ke kawasan serta memberi cadangan untuk mengatasi masalah terbabit.

“Agensi berkenaan beri bantuan racun dan baja termasuk beberapa perkakas lain untuk menyuburkan semula tanaman hijau. Alhamdulillah, sekarang hasilnya boleh dinikmati,” katanya pada Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini semalam.

Terdahulu, JMB Pangsapuri berkenaan mengungguli anugerah terbabit sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 yang disampaikan EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail.

Sementara itu, Zawawi menyifatkan kawasan laman hijau teratur, kemas dan bersih menjadi kunci utama kejayaan merangkul anugerah berkenaan.

“Kami berasa bertuah atas penganugerahan kali pertama memandangkan tidak pernah meraih sebarang anugerah. Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri termasuk agensi pertanian dan perikanan yang sentiasa memberi sokongan serta bantuan.

“Insya-Allah, kami akan terus berbudi kepada tanah dan manfaatkan ruang yang ada untuk menanam pelbagai jenis lagi tanaman seterusnya memberi rangsangan ekonomi kepada peserta,” katanya.