Categories
AGENDA NASIONAL

Sistem e-tanah mudahkan orang awam semak status

SHAH ALAM, 8 DIS: Selangor bakal menggunakan sistem e-tanah yang dibangunkan kerajaan persekutuan bagi memudahkan orang awam menyemak status tanah masing-masing.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah itu digunakan sebaik sahaja gabungan data dengan Sistem Maklumat Tanah Selangor (SeLIS) selesai dibuat.

Beliau turut memaklumkan Selangor merupakan negeri ketiga mengaplikasikan sistem berkenaan selepas Kuala Lumpur dan Perak.

“Sistem ini beri akses kepada orang awam untuk mendapat maklumat tertentu supaya tidak berlaku pertindihan antara penerima dan pemilik tanah, yang akhirnya terpaksa menanggung kos tertentu untuk membayar balik,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung perkembangan terkini guna tanah Kerajaan Negeri pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata kemas kini senarai inventori tanah negeri diuruskan pejabat daerah dan tanah manakala pemantauan dan penyeliaan status tanah kerajaan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Beliau menjelaskan proses tersebut dibuat berkala melalui mesyuarat dan pemantauan di tapak bagi memastikan tanah kerajaan tidak dicerobohi mana-mana pihak yang tidak berkenaan.

“Tanah berpotensi yang dikenal pasti dikaji semula daripada segi nilaian, lokasi, keadaan topografi, teknikal dan perundangan bagi perancangan dan pembangunan ekonomi di Selangor,” katanya.