Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sokongan akar umbi bantu Selangor lawan Covid-19

PETALING JAYA, 6 DIS: Selangor mampu mengekang Covid-19 hasil sokongan semua pihak di peringkat akar umbi meskipun sebelum ini pernah mencatat jumlah kes tertinggi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri boleh dianggap berjaya dan menampakkan hasil.

“Dalam tempoh hampir dua tahun ini kita berjaya tentang (Covid-19) dengan kaedah dan cara sendiri.

“Ini bukan perkara kecil. Kalau negeri lain tunggu vaksin (tetapi) kita beli sendiri untuk pastikan rakyat cepat divaksinasi,” katanya berucap di majlis sambutan Deepavali dan Krismas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden KEADILAN Tian Chua dan Timbalan Pengerusi negeri, Hee Loy Sian.

Amirudin yang juga pengerusi majlis pimpinan KEADILAN negeri meminta semua ahli fokus terhadap perjuangan parti bagi memastikan Selangor terus menjadi kubu pertahanan yang kuat.

“Kena tahu siapa musuh siapa lawan. Kenal pasti rakan-rakan. Kalau tewas jangan salahkan semua orang.

“Kena sabar supaya tidak ambil tindakan bukan-bukan. Kalau kita lemah asyik bertengkar, musuh kembali berkuasa,” katanya.