Categories
ADN SELANGOR

Subsidi lesen memandu vokasional bela kebajikan penduduk Batang Kali

SHAH ALAM, 17 DIS: Usaha memelihara kebajikan penduduk Batang Kali diteruskan tahun depan dengan tawaran subsidi lesen memandu vokasional kepada individu hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19.

Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali berkata golongan terkesan mampu menjana pendapatan apabila memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) bagi kenderaan e-panggilan dan kenderaan barangan (GDL).

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat pemandu tempatan bagi menggerakkan inisiatif yang dijangka menarik minat antara 50 hingga 100 individu.

“Kita sedar ramai hilang kerja disebabkan pandemik, lebih malang apabila mereka adalah ketua keluarga dan perlu menanggung keluarga. Jadi, kita tekad bantu mereka yang sudah ada lesen penuh untuk dinaik taraf kepada lesen vokasional.

“Dengan adanya lesen ini, mereka boleh bekerja dalam perkhidmatan e-panggilan atau penghantaran barang sekali gus menjana semula pendapatan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau menambah pihaknya juga merancang menyediakan pakej bantuan subsidi bas sekolah kepada pelajar sekolah kurang berkemampuan.

“Mungkin sebahagiannya ada di bawah portfolio EXCO kerajaan prihatin (bas percuma), namun yang ini kita mahu laksana khusus untuk penduduk Batang Kali,” katanya.

Saifuddin Shafi turut memaklumkan perancangan mewujudkan sebuah pusat latihan bola sepak yang lebih baik untuk kegunaan orang muda sekitar kawasan terbabit berikutan kemudahan sedia ada terlalu jauh.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat melahirkan bakat bola sepak dari peringkat akar umbi,” katanya.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan peruntukan Ahli Dewan Negeri pembangkang naik hampir tiga kali ganda tahun depan sehingga RM400,000 berbanding RM150,000 ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana wakil rakyat bebas yang menyokong negeri pula akan ditingkatkan sehingga RM500,000 manakala baki peruntukan diselaras oleh penyelaras lantikan Kerajaan Negeri.