Categories
AGENSI SELANGOR

Sukarelawan diperlukan bersih sampah pukal di lorong sempit

SHAH ALAM, 23 DIS: Khidmat sukarelawan diperlukan bagi mempercepat operasi pembersihan sampah pukal di kawasan terjejas banjir di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka juga dapat membantu mengangkut sampah dari rumah penduduk yang tidak dapat diakses lori.

“Sekarang bukan masalah di luar kerana sampah sudah dibersihkan semalam, namun masih berlonggok di lorong, jadi selagi tidak dikeluarkan, selagi itu pembersihan tidak selesai.

“Saya harap selain bantuan makanan dan selamatkan mangsa, sukarelawan juga boleh bantu keluarkan barang daripada rumah di lorong kecil untuk diuruskan KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan KDEBWM pascabanjir di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Seksyen 16 di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan sebanyak 600 tan metrik sampah pukal diangkut dari kawasan itu sejak Isnin dan menjangka proses pembersihan selesai antara satu hingga dua minggu.