Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan minta pemimpin tidak bertelagah, fokus bantu rakyat

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru agar pemimpin politik tidak bertelagah sesama sendiri sebaliknya fokus dalam membantu rakyat pasca Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pandemik telah menjejaskan kesihatan rakyat, mencetuskan kelembapan ekonomi dan ketidakstabilan politik tiga kali ganda di negara ini, lapor The Star.

“Mereka terlalu sibuk bergaduh sesama sendiri dan mengabaikan usaha untuk mengatasi masalah yang disebabkan oleh pandemik. Ini yang berlaku.

“Mungkin beta silap, beta harap, tetapi beta rasa rakyat tidak dapat mendekati wakil rakyat kawasan mereka,” titah baginda.

Tuanku juga mengakui ada kalangan rakyat yang terdesak menghubunginya sendiri bagi meminta bantuan kerana merasakan wakil rakyat mereka tidak dapat membantu.

“Sebelum ini surat kepada beta ditulis tanpa nama, kita biasa panggil surat layang. Kini, mereka menulis nama, nombor MyKad, alamat dan juga nombor telefon bimbit mereka.

“Ini bermakna mereka terdesak,” titahnya sambil menambah hanya badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu rakyat yang terjejas.

Sultan Sharafuddin turut menegur wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas kepada penduduk di kawasan mereka dengan memberi contoh kes banjir kilat yang berlaku di negeri ini beberapa bulan lalu.

“Jadi beta bertanya, ‘Di mana wakil rakyat? Mana ADN (Ahli Dewan Negeri), mana ahli parlimen?’ Ahli parlimen banyak bercakap di media sosial dan di Parlimen tetapi hakikatnya, mereka tiada buat apa-apa,” titahnya.