Categories
PENDAPAT RENCANA

Suri rumah bangkit ubah nasib keluarga ketika pasca pandemik

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Berstatus suri rumah sepenuh masa bukan bermakna tidak boleh menjana pendapatan sampingan bagi membantu keluarga dan hal ini sering diberi penekanan oleh kerajaan melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan.

Antara inisiatif itu ialah Inisiatif Wanita Bangkit anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), bertujuan membantu kaum hawa untuk bangkit dan kekal berdaya saing dengan mendekatkan mereka kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan.

Siti Rohani Husni, 31, antara yang memanfaatkan inisiatif itu yang diperkenalkan pada 1 Sept lepas.

Ketika dihubungi Bernama di kediamannya di Batang Kali, Selangor, ibu kepada dua anak berusia empat tahun dan setahun setengah itu mengakui peningkatan pendapatan yang ketara selepas menyertai inisiatif tersebut melalui perniagaan burger yang dijalankan bersama suami, Muhammad Ayub A Latip, di depan rumah mereka.

“Sebelum ini, kami berniaga burger biasa secara kecil-kecilan dari 5 petang hingga 10 malam. Namun untung tidak sebanyak mana dengan pendapatan kasar RM400 ke RM500 sahaja sebulan. Ada masa kami hanya dapat jual dua hingga tiga biji burger sahaja sehari.

“Kemudian pada 2 Nov lepas, kami diperkenalkan kepada perniagaan Syukor Burger dalam satu program Wanita Bangkit@KPWKM di Puncak Alam. Kami ambil keputusan untuk jalankan perniagaan itu, dan Alhamdulillah, kami diberikan peluang menjadi satu-satunya operator Syukor Burger di Batang Kali.

“Sekarang rezeki kami tidak putus-putus, boleh kata setiap hari kami mampu menjual hingga 80 burger dengan hasil jualan kasar bulan pertama kami sekitar RM3,200,” katanya yang pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

Kesempitan hidup

Menurutnya, dia berhenti kerja pada Mei 2020 ketika pandemik Covid-19 sedang menular di negara ini selepas berbincang dengan suami.

Ini kerana katanya pendapatan isi rumah tidak mengizinkan mereka mengupah pengasuh bagi menjaga anak yang masih kecil.

“Suami hanya bekerja sebagai pembantu kafe dan pendapatan dia sahaja tidak begitu cukup untuk menanggung keluarga. Itu yang menyebabkan kami membuka gerai burger untuk mencari pendapatan sampingan, dan atas sebab itu jugalah kami amat bersyukur bila diperkenalkan kepada Inisiatif Wanita Bangkit ini,” ceritanya yang berhasrat membuka kafe makanan barat bersama suaminya pada masa depan.

Menurut Siti Rohani, melalui inisiatif itu, dia dan suami diberi pendedahan tentang ilmu keusahawanan menerusi seminar yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak, yang mana mereka akhirnya menyertai perniagaan Syukor Burger yang dioperasikan oleh Syukor Dagang Sdn Bhd.

Katanya, antara kelebihan menyertai perniagaan itu ialah mereka tidak perlu mengeluarkan modal besar kerana kelengkapan perniagaan seperti gerai burger disediakan oleh syarikat.

Menyifatkan Inisiatif Wanita Bangkit sebagai antara usaha terbaik kerajaan, Siti Rohani berharap lebih ramai wanita, khususnya suri rumah, mengambil peluang yang disediakan itu dan menjadi usahawan yang berjaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) mencuba memasak daging burger pada Majlis Kolaborasi Rakan Strategik Wanita Bangkit Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Eco Industrial Park, Puncak Alam pada 2 November 2021. Foto BERNAMA

Bantu tingkat potensi wanita

Sementara itu, Ketua Pengarah JPW Dr Zurina Abdul Hamid berkata pelaksanaan Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM diharap dapat membantu wanita keluar daripada kesempitan hidup.

“Fokus program ialah pada aktiviti penjanaan pendapatan dengan menghubungkan wanita kepada platform dalam sektor formal yang menawarkan peluang pekerjaan serta sektor informal melalui peluang perniagaan atau keusahawanan.

“Melalui sektor formal, peluang pekerjaan yang disediakan oleh pihak industri dan syarikat swasta dikumpulkan dan ditawarkan kepada wanita yang berminat menerusi beberapa karnival kerjaya yang dianjurkan JPW.

“Melalui sektor informal pula, kita menghubungkan wanita dengan peluang perniagaan dan keusahawanan menerusi agensi kerajaan, swasta dan juga pihak industri yang memberi peluang kepada wanita menjadi pemilik perniagaan, ejen, stokis atau ejen dropship,” jelas beliau kepada Bernama.

Katanya, bagi menjayakan inisiatif itu, KPWKM mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang berkongsi aspirasi – membantu wanita menjana pendapatan.

Menariknya kata beliau program tersebut tidak membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Sasaran ialah suri rumah B40 dan M40, wanita yang menjadi ketua isi rumah termasuk ibu tunggal selain memberi peluang kepada mereka yang berhasrat membantu keluarga mencari pendapatan tambahan,” jelasnya lagi.

Tawar pelbagai inisiatif

Tambah Zurina, inisiatif itu pada awalnya menyasarkan 2,000 wanita berjaya menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, iaitu dari 1 Sept hingga 9 Dis 2021.

“Lebih menggembirakan, kita sebenarnya berjaya capai lebih 100 peratus sasaran asal apabila setakat ini seramai 5,132 wanita berjaya menjana pendapatan dalam sektor formal dan sektor informal,” katanya.

Beliau berkata selain inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM, kementerian itu juga menawarkan pelbagai inisiatif lain termasuk aktiviti advokasi bagi menangani isu keganasan terhadap wanita melalui program Skuad Waja (We Vaw), memberikan sokongan sosial kepada masyarakat melalui penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), mewujudkan talian bebas tol Family Care@LPPKN untuk keluarga yang terjejas oleh Covid-19, serta inisiatif mendaftarkan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi program MyDAFTAR OKU.

Jelasnya, kesemua inisiatif itu telah diangkat oleh KPWKM bagi menyokong acuan Keluarga Malaysia yang berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Keluarga Malaysia adalah gagasan yang diperkenalkan oleh Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021 yang antara lain menyeru rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara serta menggembleng tenaga bagi mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

-BERNAMA