Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Taburan hujan dua kali ganda rekod tertinggi, negeri gerak bantuan segera

SHAH ALAM, 18 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Selangor sehingga esok yang dibimbangi boleh memburukkan lagi banjir yang melanda lima daerah, kata Dato’ Menteri Besar.

Susulan itu, tambah Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri menggerakkan semua agensi berkaitan bagi membantu penduduk terjejas, termasuk memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah-daerah berkenaan.

“Setakat jam 5 petang tadi, Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mengoperasikan 46 PPS bagi menempatkan 3,582 penduduk yang menjadi mangsa banjir selepas tempat kediaman mereka dimasuki air,” katanya.

Selain keperluan asas seperti pakaian, makanan dan bilik kecil (cubicle) di PPS, Kerajaan Negeri akan membuat saringan Covid-19 secara percuma untuk keselamatan mangsa banjir.

“Saya (juga) mengarahkan supaya pihak Air Selangor menyediakan tangki air bergerak untuk ditempatkan di PPS yang beroperasi untuk kegunaan penduduk dipindahkan sementara,” katanya lagi.

Amirudin turut menjelaskan 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air laut pasang yang menyebabkan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelakkan air daripada melimpah keluar ke kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air.

“Sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor,” katanya.

Petang tadi, Met Malaysia menjangkakan hujan sangat lebat di semua sembilan daerah termasuk lima yang sudah dilanda banjir seperti Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Berikut kenyatan penuh Dato’ Menteri Besar:

Saya telah mempengerusikan mesyuarat terkini Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor selepas kejadian hujan luar biasa yang bermula seawal jam 10 pagi semalam, 17hb Disember 2021, dan masih berterusan sehingga ke saat ini di beberapa kawasan.

Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor memaklumkan bahawa taburan hujan telah mencecah 380mm. Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini, iaitu kira-kira 180mm dan secara kebiasaannya, paras air akan mencapai kira-kira 60mm. Tambahan itu, air pasang di kawasan-kawasan terlibat mencecah sehingga 4.5 meter.

Memandangkan situasi ini, beberapa ketetapan sedang dan akan diambil.

Pertama, keutamaan mendesak adalah keselamatan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang paling terkesan. Setakat jam 5 petang tadi, Daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat, dan Kuala Selangor, telah mengoperasikan 46 PPS bagi menempatkan 3,582 penduduk yang menjadi mangsa banjir selepas tempat kediaman mereka dimasuki air.

Kesemua PPS ini akan dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, hand sanitiser, pelitup muka serta cubicle (bilik kecil) bagi melindungi keperibadian keluarga masing-masing.

Kedua, memandangkan kita masih bergelut dengan endemik penularan wabak Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 secara berkala dan percuma untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes. PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif Covid-19.

Ketiga, aset-aset Kerajaan Negeri serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia akan dikerah, khususnya kenderaan redah banjir bagi tujuan pemindahan mangsa serta pengagihan barang keperluan asas.

Keempat, saya telah mengarahkan supaya pihak Air Selangor menyediakan tangki air bergerak untuk ditempatkan di PPS yang beroperasi untuk kegunaan penduduk dipindahkan sementara.

Kelima, kesemua usaha ini akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam.

Keenam, Kerajaan Negeri akan menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan SERVE bagi membantu proses menempatkan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan yang akan bermula selepas air pasang mula surut.

Sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang yang menyebabkan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelakkan air daripada melimpah keluar ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air.

Tambahan kepada itu, sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan sangat lebat akan berterusan di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta negeri seperti Perak, Kelantan, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan Putrajaya.

Oleh yang demikian, saya menasihati penduduk di kawasan-kawasan terbabit untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiapsiaga sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir. Ini adalah untuk melindungi keselamatan anda dan keluarga untuk waktu yang kritikal ini. Elakkan daripada keluar rumah jika tiada keperluan mendesak. Jauhi dari tempat yang dinaiki air kerana ini boleh menyebabkan renjatan elektrik ataupun panahan petir.

Saya mengesyorkan Kerajaan Negeri akan membuat segala yang mampu mengikut kapasiti untuk memastikan bantuan tiba kepada mangsa yang amat memerlukan pada waktu yang kritikal ini. Ikuti maklumat mengenai situasi serta pemakluman terkini di laman media sosial rasmi saya di Twitter, Facebook serta Instagram.

Sekiranya anda memerlukan pertolongan, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, ataupun nombor-nombor yang tertera di bawah.

  • Majlis Perbandaran Klang – 03-3374 8845
  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 03-5522 2787
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 03-31822566
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah – 03-3323 9478
  • Pejabat Kesihatan Daerah Klang – 03-3323 9554
  • PDRM Klang Selatan – 03-3372 2222
  • PDRM Klang Utara – 03-3291 3344
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – 03-3341 3703
  • Jabatan Kerja Raya – 03-3371 4040
  • Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor – 03-3371 2464
  • Angkatan Pertahanan Awam – 03-3371 0820