Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taburan hujan sebulan turun dalam sehari jejas persiapan negeri

SHAH ALAM, 21 DIS: Taburan hujan luar jangka beberapa hari lepas menjejaskan persiapan Kerajaan Negeri sejak November untuk berdepan kemungkinan banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan keadaan memburuk apabila fenomena air pasang besar turut berlaku dalam waktu tersebut.

“Kadar hujan yang dicatatkan itu ialah tempoh sebulan tetapi turun dalam sehari. Apa yang berlaku pada 16 Disember, kadar hujan antara 300 ke 400mm dalam tempoh 24 jam.

“Pelarasan berlaku pada November untuk taburan hujan sebulan tetapi malangnya trend itu meningkat dan kita terus pergiat usaha gerakkan aset yang ada,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Pada 17 November, Kerajaan Negeri menerusi Unit Pengurusan Bencana membuat kenyataan supaya orang ramai di lokasi berisiko bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir.

Jabatan Meteorologi negeri ketika itu meramalkan purata hujan pada Disember antara 200 hingga 300mm sebulan.

Amirudin menambah semua pegawai daerah bersedia dalam kapasiti rendah susulan situasi luar jangka sebelum ditingkatkan semaksimum mungkin pada Sabtu.

Beliau berkata infrastruktur negeri juga hanya bertahan untuk taburan hujan antara 60 ke 100mm hingga terpaksa menghubungi perdana menteri bagi bantuan sokongan.

“Pintu air juga terpaksa ditutup kerana limpahan air laut boleh terjah ke daratan dan mungkin Shah Alam dan kawasan sekitar lebih parah akibat bencana alam,” katanya.

Sementara itu, beliau menjangka kadar air banjir di Bukit Changgang dan Bandar Seri Ehsan di Kuala Langat akan surut secara berperingkat dalam tempoh 48 jam.

Pada 19 Disember, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak Jumaat menyamai taburan purata hujan di Lembah Klang untuk sebulan.

Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menjelaskan fenomena setiap 100 tahun sekali susulan faktor luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mencapai tahap lengkukan tropika di Laut Cina Selatan.