Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tanah kubur Islam masih kosong boleh diguna untuk tujuan lain

SHAH ALAM, 1 DIS: Tanah Perkuburan Islam di negeri ini yang masih kosong dan diwartakan, boleh digunakan untuk tujuan lain dengan kelulusan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

EXCO hal ehwal agama Islam berkata aktiviti yang mahu dilaksanakan di atas tapak perlu sah dan mematuhi undang-undang seperti penternakan, pertanian dan parkir kenderaan yang bersifat sementara.

“Jika terdapat sebarang aktiviti dijalankan sebelum tapak itu diwartakan, ia adalah di bawah tanggungjawab pentadbir tanah daerah.

“Apabila ia telah diwartakan, pihak yang ingin menggunakan tapak tersebut perlu mengemukakan permohonan penggunaan tanah kepada pengarah Jais,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung penggunaan tapak perkuburan Islam di Selangor bagi tujuan lain.

Mohd Zawawi menjelaskan Jais mengambil beberapa langkah bagi melindungi tapak perkuburan di Selangor daripada pencerobohan dan aktiviti lain.

Menurutnya, langkah diambil dengan memantau tapak terbabit selain bekerjasama dengan pejabat daerah dan tanah serta pihak berkuasa tempatan bagi penguatkuasaan mengikut Kanun Tanah Negara.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau berkata tapak tanah bawah kelolaan Jais terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyewa kerana secara tidak langsung menyumbang pendapatan tambahan kepada jabatan.