Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor lancar program tingkat kemahiran sukarelawan

SHAH ALAM, 6 DIS: Program MyCatalyz yang baharu dilancarkan Team Selangor mampu membentuk lebih 50,000 ahlinya menjadi pemangkin masyarakat.

Pengurus Kanan Sadina Suffian berkata menerusi inisiatif itu ahli akan diberikan latihan serta kursus supaya menjadi lebih profesional dan berani tampil ke hadapan.

“Kita laksanakan bengkel secara berperingkat mulai Januari depan. Mereka akan diajar bagaimana mahu selesaikan masalah, berkomunikasi dengan masyarakat, korporat dan agensi tertentu.

“Kita mahu mereka tahu hala tuju Team Selangor sebagai sukarelawan dengan lebih jelas. Ini juga dapat meningkatkan kemahiran diri serta keyakinan,” katanya ketika berucap di Majlis Temu Rapat dan peluncuran Program MyCatalyz di Dewan Megawati di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program berkenaan.

Sadina berkata MyCatalyz memberi manfaat besar kepada generasi muda memandangkan golongan itu bakal menentukan masa depan negara.

“Kita perlukan individu berani untuk selesaikan masalah masyarakat. Tak hanya bergantung kepada agensi kerajaan atau orang tertentu. Kita mahu generasi yang aktif,” katanya.

Team Selangor yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu antara pasukan yang sering tampil membantu penduduk negeri ini dalam kesusahan.

Antara khidmat mereka termasuk bertugas di pusat vaksin negeri, membersihkan kediaman mangsa banjir selain menjalankan aktiviti gotong-royong bagi mengajak masyarakat memulihara alam sekitar.