Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Tengku Permaisuri bela haiwan terbiar, cintai alam sekitar

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mementingkan perlindungan terhadap haiwan terbiar daripada menjadi mangsa kekejaman segelintir manusia.

Baginda mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabai kebajikan dan memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan termasuk kucing dan anjing dengan memberi makanan dan perlindungan.

Baginda turut memelihara Snowy, kucing terbiar yang kerap berkeliaran mencari makanan di istana sejak empat tahun lalu. Snowy kemudian dibawa ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan sebelum dijadikan haiwan angkat. Snowy menjadi kucing kesayangan Baginda dan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda juga menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar termasuk kira-kira 30 ekor dipelihara Baginda sendiri, selebihnya dijadikan haiwan angkat. Haiwan tersebut diberi rawatan dan penjagaan rapi.

Tengku Permaisuri Norashikin juga begitu terkilan dan berdukacita berikutan segelintir individu dan pihak tertentu tergamak berlaku kejam terhadap haiwan.

Sebagai penaung diraja Kempen Stray Free Selangor (SCF) Baginda yakin konsep haiwan angkat dapat membela haiwan terbiar seterusnya menjadi peliharaan dan menyenangkan pemiliknya.

Pernah menjadi kucing terbiar, Snowy kini menjadi peneman setia Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sentiasa berada di sisi Baginda. Foto Facebook Selangor Royal Office

Kempen sejak Mac 2017 yang dijayakan Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor menumpu usaha menangani masalah kucing terbiar dengan kaedah penuh perikemanusian.

Sejak Mac 2017 hingga Disember 2020, sebanyak 7,117 kucing dan anjing terbiar dikasi menerusi program SFS yang diselia SPCA Selangor.

Selain kucing,Tengku Permaisuri Norashikin juga pernah menzahirkan kekesalan berikutan penangkapan seekor anjing terbiar secara ganas yang dilakukan penguat kuasa sebuah majlis perbandaran pada dua tahun lalu.

Sememangnya Tengku Permaisuri memiliki persona tersendiri. Apatah lagi, Baginda sebelum ini terkenal sebagai penyampai berita di kaca televisyen dan bertugas di RTM selama 20 tahun sejak 1996.

Diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali dalam Anugerah Seri Angkasa pada 2001 dan 2005, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mencemar duli membuat kemunculan istimewa menerusi slot Berita Perdana Khas jam 8 malam pada 1 April.

Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan berita secara langsung kira-kira 15 minit berkaitan isu semasa negara. Kemunculan itu sekali gus pengubat rindu dan mengimbau era kegemilangan baginda sebagai penyampai berita.

Kemunculan itu julung kali selepas lima tahun lalu pada 31 Ogos 2016 setelah Baginda diijab kabul sebagai Tengku Permaisuri Selangor. Biarpun Baginda tidak lagi bergelar penyampai berita, kemunculan Tengku Permaisuri Selangor yang pernah bertugas di RTM selama 20 tahun sejak 1996 tetap tenang.

“Dua dekad menabur bakti di Angkasapuri RTM akan sentiasa abadi di hati saya. Bersempena Hari Ulang Tahun RTM ke-75, selamat maju jaya saya ucapkan kepada seluruh warga kerja RTM di mana jua anda berada,”titah Baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menanam pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor sempena Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Sedunia pada Februari 2019

Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin sentiasa mementingkan kelestarian persekitaran hijau. Bahkan, Baginda berkenan menanam pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor sempena Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Sedunia pada Februari 2019.

Kesungguhan Baginda terserlah apabila mencemar duli berjalan kaki sejauh hampir tiga kilometer sebelum menanam pokok bakau spesies bakau kurap atau ‘Rhizophora mucronata’.

Sebanyak 1,300 batang pokok bakau kurap ditanam di sekitar taman seluas 261 hektar yang dijayakan 500 peserta termasuk pelajar dari sekolah rendah hingga peringkat institusi pengajian tinggi.

Baginda juga mengiringi Sultan Sharafuddin mencemar duli menyempurnakan Program Tanam Pokok Selangor 2018 di Hutan Simpan Sepang Kechil di Pantai Bagan Lalang. Baginda berdua menanam pokok bakau di kawasan pantai itu. Sebanyak 3,000 pokok ditanam di sekeliling pantai melibatkan 2,500 peserta.