Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor agih makan untuk staf, penduduk terkesan banjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Tourism Selangor mengagihkan bantuan kewangan, bakul makanan dan barangan asas kepada kakitangannya yang terkesan banjir, baru-baru ini.

Agensi pelancongan itu turut mengagihkan 500 pek makanan kepada mangsa banjir di Hulu Langat iaitu Kampung Bukit Dukung, Kampung Sungai Sekamat, Kampung Sri Jambu dan Kampung Baru Batu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya prihatin terhadap cabaran dihadapi rakyat susulan bencana itu khususnya di negeri ini.

“Secara tidak langsung bencana ini turut menjejaskan aktiviti pelancongan, namun saya berharap keadaan pulih seperti sedia kala dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil minuman dan makanan yang bersih untuk mengelakkan keracunan selain peka terhadap aspek keselamatan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.