Categories
AGENSI SELANGOR

Tumpu bersih rumah, mangsa bah harap tempoh mohon bantuan dilanjut

SUBANG JAYA, 24 DIS: Mangsa banjir di Selangor berharap tempoh permohonan bantuan RM1,000 oleh Kerajaan Negeri dilanjut berikutan kekangan masa dihadapi ketika ini.

Zulkifli Abdan, 44, berkata dia sekeluarga mahu membersihkan kediaman di Kampung Bukit Lanchong di sini terlebih dahulu yang dipenuhi lumpur akibat musibah pada Sabtu.

Zulkifli Abdan

“Sejujurnya, saya amat berterima kasih dengan bantuan negeri meskipun kerugian mencecah RM100,000, kalau boleh tempoh permohonan dipanjangkan kerana dalam seminggu dua ini kami sibuk kemas rumah.

“Kami juga perlu jaga rumah kerana bimbang kes kecurian. Walaupun rumah masih kotor dan bersepah, kami tidak boleh keluar dari sini,” kata bapa dua anak yang menetap di situ sejak 35 tahun lalu.

Perkara sama disuarakan Rafidaha Norratil Arafin, 28, yang berharap proses permohonan bantuan dipermudah dan diperolehi segera untuk membeli keperluan di rumah.

Rafidaha Norratil Arafin

“Saat bencana seperti ini kami sangat memerlukan bantuan untuk baiki apa yang patut termasuk membeli semula mesin basuh dan peti ais kerana barang itu baru dibeli tiga bulan lepas,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 untuk ketua isi rumah bagi meringankan beban.