Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Vaksin tahan tiga tahun dari tarikh beli, simpan untuk Selvax

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Negeri yakin bekalan vaksin yang dibeli untuk program Vaksin Selangor (Selvax) dapat dihabiskan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pembelian seperti jaminan pihak pembekal.

Dato’ Menteri Besar berkata bekalan vaksin boleh dijual di tempat lain termasuk memenuhi permintaan negeri atau negara lain yang menghadapi kekurangan bekalan.

“Namun ketika ini Kerajaan Negeri mahu menumpukan program dos penggalak menerusi Selvax Booster yang diberikan secara percuma.

“Selangor menjadi negeri pertama mengumumkan dos penggalak secara percuma yang bermula hari ini selepas melaksanakan Selvax Remaja, Selvax Bergerak dan Selvax Komuniti.

“Bagaimanapun, dari semasa ke semasa kita akan fikirkan sama ada menjual atau menyimpan untuk rakyat sekiranya memerlukan dengan melihat perkembangan terkini kes Covid-19,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berhubung strategi Kerajaan Negeri untuk menghabiskan bekalan vaksin untuk Selvax Industri dalam sidang Dewan Negeri Selangor DNS hari ini.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapi dan mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Selvax Komuniti menyasarkan warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Selvax bergerak pula dijalankan 12 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 7 Oktober, Amirudin mengumumkan Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian 157,000 dos penggalak secara percuma menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster mulai esok.