Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat alu bantuan barang asas buat mangsa banjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Individu atau syarikat swasta dialu-alukan untuk menyumbang barang keperluan asas meliputi makanan dan tong gas kepada mangsa banjir.

Wakil rakyat Batu Tiga Rodziah Ismail berkata ramai yang terkesan dengan bencana itu sudah pulang ke rumah dan memerlukan semula bekalan yang musnah.

“Sudah pasti sukar untuk mereka dapatkan bekalan dalam keadaan diuji ketika ini, justeru saya menyeru yang ingin membantu untuk hubungi Pusat Khidmat Rakyat DUN Batu Tiga,” katanya.

Beliau juga menggalakkan sumbangan seperti susu bayi, lampin pakai buang, selimut, tuala dan alatan mandian dengan menghubungi 013-561 1620/019-232 6466/ 013-606 2222.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.