Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat tingkatkan bantuan, ringan beban mangsa banjir

SHAH ALAM, 24 DIS: Wakil-wakil rakyat terus melipatgandakan usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir besar minggu lalu.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi menyumbangkan set selimut dan cadar kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut serta mengagih bantuan itu Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Sementara itu, wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizan Zaman Huri pula turun padang mengagihkan sumbangan makanan kering bagi meringankan beban penduduk di kawasannya yang terlibat musibah banjir.

“Bersama wakil Persatuan Usahawan Maju Malaysia menyantuni dan menziarahi penduduk yang sedang membersihkan rumah akibat banjir,” katanya menerusi Facebook.

Azmizam Daman Huri (tengah) menyampaikan sumbangan makanan kering kepada mangsa banjir di sekitar Pelabuhan Klang pada 21 Disember 2021. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri

Tidak ketinggalan menghulur bantuan ialah wakil rakyat Banting Lau Weng San yang menghantar barang keperluan ke PPS SMK Sungai Manggis.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya telah membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membantu mempercepatkan kerja memperbaiki jalan berlubang di sekitar Sungai Rambai, Sungai Jarom dan Sungai Sedu disebabkan hakisan tanah akibat banjir.

“Kelihatan beberapa lubang jalan itu telah diperbaiki. Walaupun begitu masih terdapat banyak lagi yang masih belum diperbaiki,” katanya.

Petugas Pejabat Ahli Dewan Negeri Banting menghantar barang-barang keperluan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis. Foto Facebook Lau Weng San