Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas sempat selamatkan diri sebelum rumah pusaka dihanyut banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Seorang warga emas sempat menyelamatkan diri sebelum rumah pusaka yang didiaminya hanyut dibawa arus deras dalam kejadian banjir di Batu 18 Kampung Jawa, Hulu Langat kelmarin.

Rumah pusaka yang dibina pada 1969 peninggalan ibu bapa kepada lapan beradik itu menjadi tempat berteduh kakak sulung keluarga itu Ruhana Mahfuz, 75.

Adiknya Rodiah, 56, berkata kakaknya tinggal seorang diri dan ketika air mula naik dia sempat membuat persiapan dengan mengalihkan barangan penting ke tempat lebih tinggi, lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun dia berkata, mereka terkejut apabila dimaklumkan rumah pusaka itu dihanyutkan banjir.

“Hanya tangga sahaja yang tinggal. Barangan dalam rumah memang tak sempat diselamatkan termasuk dokumen penting seperti kad pengenalan.

“Apa pun kami adik-adik bersyukur kerana Kak Long selamat,” katanya.

Menurutnya, menjelang tengah malam paras air semakin naik dengan mendadak dan penduduk kampung menasihati Rohana supaya segera berpindah ke tempat selamat.

“Apabila air naik Kak Long (Ruhana) alihkan kereta ke kawasan lebih tinggi sedikit, kemudian dia sempat pindahkan barang-barang rumah ke tempat lebih selamat.

“Kemudian Kak Long tengok paras air sudah mencecah di kawasan keretanya diparkir. Ketika mahu alihkan lagi kereta ada penduduk datang nasihatkan supaya terus berpindah kerana air naik dengan cepat,” katanya.

Rumah pusaka yang didiami Ruhana Mahfuz di Batu 18 Kampung Jawa, Hulu Langat sebelum dihanyut banjir pada 18 Disember 2021. Foto Facebook Angkatan Belia Islam Malaysia