Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Wujudkan sistem senarai nama pemborong, pantau harga barang

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan disaran mewujudkan sistem senarai nama pemborong yang berdaftar dengan kementerian khususnya melibatkan pemborong barangan pertanian dan makanan berskala besar bagi tujuan pemantauan segera sekiranya berlaku kenaikan harga.

Naib Yang Dipertua 2 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Selangor Kamal Ahmad Abdullah berkata melalui sistem itu kementerian berkaitan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) dapat mengenal pasti pemborong atau pembekal yang menaikkan harga sesuka hati serta mencegah manipulasi harga.

Katanya buat masa ini, memang ada pemborong yang berdaftar dengan KPDNHEP tetapi hanya melibatkan pemborong barangan di bawah skim kawalan harga antaranya ayam, minyak masak paket dan tepung gandum.

“Melalui sistem senarai tersebut, apabila mereka berdaftar sebagai pemborong, kementerian akan tahu maklumat mereka ini memborong barangan apa, di mana beroperasi ke mana dan di mana.

“Jadi apabila berlaku kenaikan harga yang mana perlu disemak, kerajaan terus boleh kesan siapa yang perlu bertanggungjawab. Dengan itu senang untuk kita buat pengawalan agar harga yang sampai kepada pengguna tidak setinggi seperti diperkatakan sekarang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Susulan kenaikan harga barangan ketika ini, Kamal berkata sudah tiba masanya kesemua pemborong didaftarkan dengan KPDNHEP dan kementerian itu perlu menetapkan harga siling kepada barangan yang dilihat harganya meningkat secara konsisten agar ia tidak menambahkan lagi beban pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula berkata isu kenaikan harga barang memberi impak kepada kewangan rakyat dan antara langkah mengurangkan impak itu ialah penganjuran pasar atau gerai jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menjual barangan keperluan jauh lebih murah daripada harga pasaran.

“Walaupun mungkin kawasan liputan jualan PKPS tidak meluas dan berada di seluruh negeri namun ia antara usaha kami dalam mengurangkan bebanan yang dihadapi rakyat kini,” katanya.

Sementara itu tinjauan di sekitar Shah Alam, di sini mendapati rata-rata pengusaha mendakwa ‘kewujudan’ orang tengah mungkin antara sebab harga barangan meningkat.

Pemilik sebuah kedai runcit Arniza Abdul Razak, 35, mengibaratkan kenaikan harga barang berkenaan sebagai skrip biasa yang biasanya bermula dengan pihak pembekal mendakwa harga barangan yang ada pada mereka sudah meningkat berbanding harga biasa.

“Walaupun mereka kata kilang dah naikkan harga tetapi sebenarnya ‘orang tengah’ itu yang naikkan lagi harga tersebut, jadi apabila barang sampai kepada kita, dia cakap harga dah naik dan menyebabkan pihak kami terpaksa menaikkan harga jualan,” katanya.

Turut bersetuju dengan pandangan tersebut, penjual ikan Arif Omar, 29, yang percaya faktor mementingkan keuntungan tinggi menjadi salah satu sebab kenaikan harga barang masa ini sukar dikawal.

– BERNAMA