Categories
AGENDA NASIONAL

Zakat Selangor biaya kos urus jenazah sembilan mangsa kemalangan

SHAH ALAM, 18 DIS : Lembaga Zakat Selangor (LZS) membiayai kos pengurusan jenazah sembilan individu yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan malam tadi.

LZS menerusi Facebook memaklumkan mangsa kemalangan itu merupakan salah seorang penerima bantuan agensi tersebut.

“Hilang sembilan ahli keluarga sekelip mata merupakan dugaan terbesar buat ketua keluarga ini yang sedang dirawat di hospital.

“Pengurusan jenazah sedang diuruskan oleh unit agama Hospital Shah Alam dan segala kos yang berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh LZS,” maklum agensi itu.

LZS turut mengucapkan takziah kepada waris keluarga dan semoga roh mereka semua dirahmati.

Dalam kejadian malam tadi, sepuluh individu maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam.

Mangsa yang meninggal dunia ialah lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan serta seorang lelaki dan seorang wanita.

Kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.