Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Zakat Selangor terima anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2021

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dinobatkan sebagai antara penerima anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2021 (edisi Malaysia) anjuran HR Asia dalam satu majlis berprestij baru-baru ini.

LZS adalah antara 43 syarikat yang menerima anugerah itu daripada keseluruhan 270 penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M. Yusop yang menerima anugerah itu berkata ia merupakan pengiktirafan kepada LZS serta institusi zakat di Malaysia secara amnya.

Beliau berkata penganugerahan itu secara tidak langsung membuktikan keupayaan syarikat berkenaan mengurus secara profesional dan bertaraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pengeluar zakat untuk terus menunaikan zakat di Selangor.

“Pengiktirafan ini juga ditujukan khas kepada warga kerja LZS atas kerja keras dan kesungguhan mereka memberikan yang terbaik kepada asnaf dan juga pengeluar zakat terutama dalam waktu pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia itu merupakan program tahunan yang dianjurkan HR Asia bagi mengiktiraf organisasi di benua itu dalam bidang kecemerlangan pengurusan sumber manusia, penjenamaan majikan dan libat urus warga kerja.

Syarikat yang menyertai program itu perlu melalui proses penilaian berdasarkan kaji selidik berteraskan Total Engagement Assessment Model (TEAM) kepada warga kerja yang dipilih secara rawak.

Menurut kenyataan itu, LZS turut membentangkan inisiatif yang diusahakan sebagai sebuah organisasi prihatin kepada masyarakat dan warga kerja ketika tempoh COVID-19 kepada panel penilai, sebelum dipilih sebagai pemenang.

– BERNAMA