Categories
AGENDA NASIONAL

Zurinah bangga belia manfaat digital bawa suasana baharu karya sastera

SHAH ALAM, 7 DIS: Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan bangga melihat anak muda memanfaatkan kemajuan teknologi bagi membawa suasana baharu dalam kesusasteraan.

Beliau berkata golongan terbabit berkongsi dan menyiarkan semula karya penulis terdahulu seperti syair, sajak dan novel secara digital kepada pengguna media sosial.

“Saya banyak menghasilkan sajak, cerpen dan novel. Saya masih ingat semasa buku pertama diterbitkan pada 1974, buku itu hilang entah ke mana…tidak dipedulikan, saya tak nampak siapapun yang baca.

“Tetapi sekarang saya lihat mereka (anak muda) dapat bawa semula karya yang diminati masyarakat di media sosial. Saya berterima kasih kepada internet sebab saya boleh tahu siapa yang baca,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi hati dan minda sasterawan sempena Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan bercakap ketika program Hati dan Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 6 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penulis dan penyair berusia 72 tahun yang lebih dikenali dengan nama pena Haniruz turut berharap agar bahasa Melayu terus dimartabatkan melalui karya dan penulisan.

“Saya ingin lihat penulisan ini sesuatu yang dihormati dan diangkat serta tidak dipermainkan oleh masyarakat,” katanya.

Mula dikenali dengan sajak ‘Sesayup Jalan’ pada 1974, wanita kelahiran Bakar Bata, Alor Setar mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi hingga terhasil kumpulan puisi ‘Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour’, 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Zurinah pernah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2004 serta Anugerah Puisi Negara-negara ASEAN (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera Perdana.

Beliau juga menghasilkan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi pada 2003, dan antara hasil tulisan ilmiah beliau ialah mengenai Sasterawan Negara Usman Awang (1990).

Beliau turut menghasilkan 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak 1963.

Beberapa karya puisi dan sajaknya diterjemahkan ke bahasa Jepun, Perancis, Sepanyol dan Rusia.