KUALA LUMPUR, 9 JAN: Sebanyak 11 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, angka terendah sejak 25 April tahun lepas yang mencatatkan 10 kematian.
Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu enam kes, manakala Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kematian.
Berdasarkan data KKM melalui laman COVIDNOW, sejumlah 31,655 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini sehingga semalam.
Dalam pada itu, 22,879,927 individu atau 97.7 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, sementara 98.9 peratus atau 23,165,398 individu daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, setakat 11.59 malam tadi.
Sebanyak 2,765,273 individu atau 87.9 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula melengkapkan vaksinasi, manakala 2,855,876 individu atau 90.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan 124,994 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,241 dos pertama, 1,086 dos lengkap dan 122,667 dos penggalak.
Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 59,161,467 dos dengan 7,696,037 daripadanya adalah dos penggalak.
-BERNAMA