Categories
AGENSI SELANGOR

12,734 keluarga, waris korban bah di Klang dapat bantuan negeri

SHAH ALAM, 24 JAN: Seramai 12,734 keluarga dan waris yang terjejas banjir di Klang menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dengan peruntukan lebih RM12.78 juta setakat ini.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji berkata bantuan RM1,000 diagihkan kepada 12,728 ketua isi rumah manakala enam waris korban bah mendapat RM10,000.

Menurutnya, penerima paling ramai dari Sri Muda iaitu 3,319, Jalan Kebun (2,584) Bukit Raja (1,761), Pekan Kapar (1,412), Rantau Panjang (1,196), Telok Gadong (1,213) dan Pulau Indah (1,085).

“Jumlah terkini keseluruhan borang diterima ialah 71,542 permohonan dan yang telah didaftarkan untuk menerima bantuan sebanyak 44,106,” katanya kepada Selangorkini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.