Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

155 tan al-Quran rosak akibat banjir, Jais sasar beli 50,000 kitab baharu

SHAH ALAM, 5 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan Tabung Dana Wakaf al-Quran (Pascabanjir) bagi menggantikan naskhah yang rosak akibat bencana bulan lalu.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata program selama dua bulan mulai semalam menyasarkan pembelian 50,000 naskhah dengan belanja keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Beliau menjelaskan sejumlah RM383,000 dikumpul setakat ini dengan kitab suci itu akan ditempatkan di masjid, surau dan sekolah kelolaan Jais yang terkesan banjir.

“Setakat ini, dianggarkan lebih 155 tan al-Quran rosak dan dalam proses pelupusan. Kita harap lebih ramai menyumbang supaya pelajar dapat memiliki al-Quran.

“Jika jumlah dikumpul melebihi sasaran, kita akan beli naskhah dilengkapi hukum tajwid, terjemahan dan sebagainya,” katanya selepas melancarkan tabung itu di pejabat Jais di sini hari ini.

Penyumbang terawal antaranya Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Perbadanan Wakaf Selangor.

Mohd Shahzihan berkata pihaknya menerima arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menitahkan tabung itu segera dilancarkan.

“Baginda minta Jais sebagai penyelaras tabung supaya tiada pihak yang ambil kesempatan. Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan peribadi,” katanya.