Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

22,500 mangsa banjir selesai terima bantuan LZS Peduli

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 22,500 mangsa banjir negeri ini menerima bantuan fasa satu melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) Peduli antara 28 hingga 31 Disember lalu.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan diagih berperingkat sejak 28 Disember, dengan setiap keluarga menerima RM600 melibatkan belanja RM13.5 juta.

Saipolyazan M Yusop memaklumkan sebanyak 35,000 permohonan diterima secara dalam talian antara 23 hingga 30 Disember lalu, melebihi jangkaan agensi terbabit.

“Bantuan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa terjejas bencana bulan lalu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata permohonan fasa dua bantuan sama dibuka antara 1 hingga 31 Januari ini bagi memberi peluang kepada mangsa yang tidak sempat berbuat demikian.

Menurut Saipolyazan, permohonan boleh dibuat melalui pautan www.zakatselangor.com.my/lzspeduli manakala manual dikhususkan kepada warga emas tidak mahir teknologi.

“Bagaimanapun, kita amat menggalakkan saudara terdekat atau jiran membantu mereka yang tidak mahir teknologi membuat permohonan melalui portal LZS Peduli kerana ia lebih cepat dan mudah,” katanya.

Pada 20 Disember 2021, LZS mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.