Categories
BERITA UTAMA

28,506 tan metrik sampah bah dibersihkan sekitar Shah Alam

SHAH ALAM, 3 JAN: Sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai hujung Disember hingga semalam.

Infografik dikongsi MBSA di Twitter menunjukkan sebanyak 12 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan dengan kutipan harian berjumlah 3,042 tan metrik.

Kerja pembersihan itu melibatkan 250 petugas pihak berkuasa tempatan berkenaan, 65 dari KDEB Waste Management (KDEBWM) dan 45 sukarelawan menggunakan 207 lori serta 60 pengorek kaut.

Sementara itu, MBSA memaklumkan kutipan sisa banjir di Taman Sri Muda mencecah 11,919 tan metrik dalam tempoh sama dengan jumlah harian sebanyak 2,490 tan metrik.

Pembersihan pula menggunakan 135 lori dan 45 pengorek kaut melibatkan 43 petugas dari MBSA dan KDEBWM serta 45 sukarelawan.

Sebelum ini, Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir memaklumkan proses kutipan sisa pascabanjir di beberapa lokasi mencecah antara 65 hingga 85 peratus, yang dijangka selesai seawal Khamis.