Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

3,000 kad SIM diagih, mahasiswa Selangor terima manfaat internet percuma

PETALING JAYA, 23 JAN: Sebanyak 3,000 kad modul pengenalan pelanggan (SIM) akan diagih kepada mahasiswa di negeri ini dalam masa terdekat.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata melalui inisiatif Data Internet Selangor itu penerima dapat menikmati langganan percuma selama setahun.

Jelas Ahmad Azri Zainal Nor, pemberian diutamakan kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

“Kita akan jalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan bagi memudahkan proses agihan,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada penduduk Apartment Lestari, Damansara Damai di sini hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ahmad Azri berkata pihaknya mempertimbangkan pemberian kad SIM itu kepada lebih ramai pelajar susulan bah besar yang melanda pada Disember tahun lalu.

“Setakat ini seramai 9,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sudah terima kad SIM. Jumlah ini lebih 2,000 dari peruntukan awal kerana kita lihat manfaat besar kepada golongan pelajar,” katanya.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar PTRS, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Unisel dan Kuis.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.