Categories
AGENDA NASIONAL

3,198 kes baharu Covid-19, lebih 98 peratus kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Kes harian Covid-19 yang dilaporkan dalam negara meningkat kepada 3,198 hari ini berbanding 3,175 semalam, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan itu menjadikan kumulatif kes positif kini 2,795,233 manakala pertambahan kes sembuh sebanyak 3,200 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kepada 2,723,599.

Noor Hisham berkata daripada 3,198 kes baharu itu, sebanyak 39 kes (1.2 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,159 kes (98.8 peratus) lagi kategori satu dan dua.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 215 kes dengan 105 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak lapan kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan kluster aktif kini berjumlah 179.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Malaysia semalam adalah 1.00 dengan negeri tertinggi mencatatkan nilai Rt ialah Labuan (1.12) diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing 1.08, Sabah (1.07), Melaka (1.05) dan Negeri Sembilan (1.04).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 13 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini dan daripada jumlah itu, 12 kes merupakan Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan satu Acute Gastroenteritis (AGE).

– BERNAMA