Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

36,000 keluarga mangsa banjir Selangor terima bantuan RM1,000

ISKANDAR PUTERI, 16 JAN: Seramai 36,000 ketua isi rumah (KIR) di Selangor telah menerima bantuan RM1,000, menerusi inisiatif Selangor Bangkit yang bermula akhir Disember lalu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menjangkakan bilangan KIR yang akan menerima bantuan tersebut bakal mencecah 40,000 pada minggu hadapan, menjadikan jumlah bantuan yang disalurkan berjumlah RM40 juta.

Menurutnya, sebanyak 11,194 KIR yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor telah menerima bantuan berkenaan.

“Angkanya terus berterusan sekarang.. kita sedang buat pendaftaran rumah ke rumah, bancian sedang dilakukan, bila kita dapat kita bagi dalam tempoh seminggu.

“Sebelum ini kita sasar 30,000 keluarga sahaja, tetapi hari ini sahaja dah 36,000 dan ada lagi pendaftaran masuk. Jadi, kita buka pendaftaran sampai 31 Januari dan mungkin kita akan tunggu pendaftaran itu sebab ia memerlukan proses semakan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan 1,000 bakul makanan kepada mangsa banjir di Johor kepada Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse (dua, kiri) pada majlis yang diadakan di Bandar Medini, Iskandar Puteri pada 16 Januari 2022. Foto BERNAMA

Terdahulu, Amirudin menyampaikan sumbangan 1,000 bakul makanan kepada mangsa banjir di Johor daripada kerajaan Selangor di Bandar Medini di sini hari ini.

Akhir tahun lalu, beliau memaklumkan mnagsa banjir di Selangor akan menerima bantuan RM1,000 menerusi inisiatif Selangor Bangkit, yang akan mula disalurkan seawal Rabu ini.

Penerima terbahagi kepada tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) awam; mangsa yang berpindah ke PPS swasta (persendirian) dan mangsa yang tidak berpindah ke PPS.

– BERNAMA