Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3,721 keluarga terjejas banjir terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 1 JAN: Sejumlah RM3.721 juta dibelanjakan untuk Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 3,721 keluarga yang terjejas akibat banjir dengan setiap mereka menerima RM1,000.

“Selain itu, dua keluarga mangsa yang meninggal dunia masing-masing menerima bantuan berjumlah RM10,000,” katanya menerusi Facebook.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung Januari ini.