Categories
AGENDA NASIONAL

3,856 kes baharu Covid-19, lebih 99 peratus kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sebanyak 3,856 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini menurun sedikit daripada 4,116 kes semalam menjadikan kes kumulatif wabak itu kepada 2,832,945 setakat 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 35 (0.9 peratus) daripada jumlah kes baharu itu adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 3,821 kes (99.1 peratus) terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Daripada 3,856 kes itu, sebanyak 492 adalah kes import dan 3,364 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 121 kes dengan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,814 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih setakat ini ialah 2,755,933 orang.

Katanya sebanyak 13 kluster baharu direkodkan dengan 235 kluster masih aktif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham sekali lagi menyeru orang ramai yang langsung belum mendapat vaksin Covid-19 supaya berbuat demikian dengan mendaftarkan diri mereka untuk mendapatkan janji temu vaksin.

“Bagi yang telah mendaftar, Kementerian Kesihatan memohon agar anda hadir ke janji temu itu demi melindungi diri anda dan orang tersayang,” katanya.

Bagi mereka yang telah mendapatkan vaksin pula, dinasihat mengambil dos penggalak agar dapat melindungi orang sekeliling daripada jangkitan wabak itu.

– BERNAMA