KUALA LANGAT, 4 JAN: Seramai 40 mangsa banjir di daerah ini masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat hujan lebat sejak kelmarin.
Wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin berkata mangsa dari 12 keluarga itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.
“Hujan agak lebat dan faktor fenomena air pasang menyebabkan kediaman di Kampung Sungai Nangka dan Kampung Kelanang dinaiki air tetapi tidak tinggi seperti sebelum ini.
“Kita mengambil beberapa tindakan antaranya menyediakan pam bagi menyedut air untuk mengurangkan limpahan ke kediaman penduduk,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di dua PPS tersebut.
Hasnul menambah sistem perparitan di sebahagian besar kawasannya berada dalam keadaan baik manakala Kampung Kelanang, Kanchong Darat dan Kanchong Tengah perlu ditambah baik.
Semalam, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi tahap bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter melebihi paras normal 4.20m.