SHAH ALAM, 20 JAN: Seramai 40,917 keluarga terkesan banjir pada Disember tahun lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) membabitkan peruntukan RM41.037 juta setakat 10 pagi hari ini.
Maklumat dikongsi menerusi Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 12 waris korban bencana iaitu enam di Klang, Sepang (tiga), Hulu Langat (dua) dan Kuala Langat (satu) menerima bantuan masing-masing RM10,000 melibatkan jumlah RM120,000.
Bagi bantuan RM1,000 kepada keluarga terjejas banjir berjumlah RM40.917 juta pula, daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan melibatkan 11,236 isi rumah diikuti Klang (10,177) dan Hulu Langat (6,867).
Bilangan penerima untuk Kuala Langat (5,279), Sepang (3,966), Kuala Selangor (2,366), Gombak (898), Hulu Selangor (93) dan Sabak Bernam (35).
Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.
Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.
Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.
Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung Januari ini.