Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

415 keluarga di DUN Bukit Melawati selesai terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 8 JAN: Seramai 415 keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati yang terjejas akibat banjir selesai menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 setakat semalam.

Wakil rakyat Juwairiya Zulkifli berkata penerima adalah dari Kampung Asahan, Kampung Bukit Kuching dan Kampung Tanjung Siam.

“Serahan diagih kepada mangsa secara berperingkat di pusat pemindahan sementara dan selesai diberi semalam.

“Kita harap sumbangan daripada Kerajaan Selangor kepada mangsa banjir ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka mengharungi kehidupan pascabanjir,” katanya ketika dihubungi.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.