Categories
ADN SELANGOR

50 termasuk mangsa banjir DUN Sentosa terima bantuan sempena Pesta Ponggal

KLANG, 16 JAN: Seramai 50 penganut Hindu sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima bantuan sempena Pesta Ponggal hari ini.

Semua penerima merupakan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan rata-ratanya terlibat dengan bencana banjir akhir tahun lalu, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Dr G Gunarajah.

“Setiap penerima menerima barangan keperluan antaranya seperti beras, air mineral, sabun dan baldi semuanya berjumlah RM45.

S Logeswaran, 40. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban mangsa dalam mendepani ujian pascabanjir,” katanya ketika ditemui pada Pesta Ponggal di Kuil Devi Sri Maha Kaligambal Alayam di sini.

Salah seorang penerima, S Logeswaran, 40, mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat terbabit yang sudi menghulurkan sumbangan tersebut.

“Terima kasih YB (Yang Berhormat) Dr Gunarajah kerana bantuan ini serba sedikit menampung barang keperluan yang rosak akibat banjir,” katanya.

K Vasandi, 58. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Manakala, K Vasandi, 58, berkata ADN Sentosa sentiasa memberi sumbangan dan berterima kasih kerana prihatin dengan nasib penduduk.

Sementara itu, mengulas mengenai sambutan Pesta Ponggal Dr G Gunarajah memaklumkan meskipun berada dalam fasa pandemik ia tidak menghalang kaum Hindu untuk meraikannya.

“Kira-kira 100 orang hadir bagi meraikan pesta hari ini. Walaupun berbeza dengan sambutan sebelum ini kerana kita perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) tetapi ia tetap meriah.

“Pesta Ponggal ini juga sebagai simbolik untuk kita berterima kasih kepada maha kuasa di atas segala yang kita nikmati selama setahun sebelum ini,” katanya.