Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

500 bungkus makanan diagih elak penganut Hindu berkumpul rai Thaipusam

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 500 bungkus makanan diedarkan secara percuma kepada penganut Hindu yang meraikan Thaipusam di Kuil Bandar Country Homes, Rawang hari ini.

Pegawai khas perhubungan masyarakat Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan itu bagi mengelak masyarakat berkumpul di lokasi berkenaan sebaik selesai melakukan upacara keagamaan.

“Meskipun diraikan secara sederhana, namun sambutan perayaan di kuil terbabit berjalan agak baik dan lancar dengan rata-rata penganut mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Selepas menunaikan hajat, mereka diberikan makanan bungkus dan diarah beredar dari kawasan kuil,” kata Dr G Gunarajah ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau berharap masyarakat Hindu dapat menerima hakikat perayaan itu sekali lagi terpaksa disambut kecil-kecilan, tidak seperti kelaziman susulan pandemik Covid-19.

“Paling penting mereka berpeluang menunaikan hajat. Mungkin tahun depan kita boleh meraikan seperti biasa memandangkan akan beralih ke fasa endemik,” kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.