Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

6,000 mangsa banjir Klang selesai terima bantuan negeri

SHAH ALAM, 10 JAN: Sejumlah RM6 juta dibelanjakan untuk 6,000 mangsa banjir di Klang menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat semalam.

Wakil rakyat Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kira-kira 40,000 permohonan lagi sedang di proses pejabat tanah dan daerah.

“Sebanyak tujuh kampung terlibat dengan banjir dan masing-masing menghantar antara 500 hingga 1,000 permohonan.

“Mereka yang belum dipanggil harap bersabar kerana pejabat tanah dan daerah sedang memproses permohonan tersebut,” katanya ketika ditemui di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Jalan Kebun hari ini.

Terdahulu, seramai 300 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima BSB dan bantuan wang ihsan daripada kerajaan pusat dengan masing-masing bernilai RM1,000.

Suri rumah, Arfah Md Yudin,59, berkata beliau bersyukur kerana bantuan diterima cepat dan memudahkannya untuk membeli keperluan rumah yang hampir kesemuanya tidak boleh digunakan.

“Ketika kejadian banjir, saya bersama cucu dan anak sementara suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bekerja.

“Terima kasih atas bantuan kerana membantu meringankan beban terutama suami yang hanya bergaji RM1,200 sahaja,” katanya.

Warga emas, Yap Moi,72, berkata semua barang di rumah sudah tidak boleh digunakan kerana rumah dinaiki air hingga paras pinggang.

“Semua barang seperti almari, pinggan dan cawan juga sudah tidak boleh digunakan kerana dibawa banjir. Saya akan gunakan bantuan diberikan untuk membeli keperluan rumah termasuk makanan,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada Disember 2021.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.