Categories
AGENDA NASIONAL

70 peratus warga emas terima dos penggalak setakat 16 Jan

SHAH ALAM, 17 JAN: Lebih 70 peratus warga emas telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu melibatkan golongan tersebut di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak daripada 9,364,326 penduduk berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara yang melengkapkan vaksinasi itu.

Menurutnya, warga emas 60 tahun ke atas telah menerima dos lengkap selepas tempoh tiga bulan daripada dos terakhir, layak menerima dos penggalak.

Sehubungan itu, perkhidmatan vaksinasi secara terus (walk-in) kepada mereka di Lembah Klang ditawarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi setiap hari kecuali cuti umum adalah seperti berikut:

1. PPV World Trade Centre, Kuala Lumpur (2 petang hingga 8 malam)
2. PPV Axiata Arena, Bukit Jalil (2 petang hingga 8 malam)
3. PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam (2 petang hingga 8 malam)
4. Soka Gakkai, Klang (12 tengah hari hingga 4 petang)

Tambahnya, PPV ‘offside’ di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak akan turut dilaksanakan perkhidmatan sama mulai 24 Januari ini dengan senarai lengkap pusat tersebut akan diumumkan ProtectHealth Corporation.

“Warga emas yang ingin hadir secara terus (walk-in) adalah dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses itu.

“KKM juga ingin memaklumkan buat masa ini, janji temu di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca,” katanya.

Kementerian itu juga menjelaskan vaksin Pfizer akan dibekalkan di PPV tersebut khususnya bagi individu tertentu seperti ibu hamil telah menerima janji temu atau mereka yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.