Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

9,000 pelajar Tuisyen Rakyat Selangor dapat kad SIM, internet percuma

SUBANG, 22 JAN: Seramai 9,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) secara percuma melalui inisiatif Data Internet Selangor.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata jumlah penerima bertambah 2,000 lagi berbanding 7,000 yang diperuntuk sebelum ini.

“Semua pelajar sudah menerima kad SIM tetapi ada yang belum aktifkan data. Pasukan kita bersama syarikat telekomunikasi akan turun padang untuk melihat masalah mereka,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan komputer riba kepada pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli di Kampung Tengah Puchong semalam.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar PTRS, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.