Categories
AGENDA NASIONAL

99 peratus kes harian Covid-19 libat kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Sebanyak 99 peratus atau 5,089 kes daripada 5,139 kes Covid-19 dilaporkan hari ini terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala satu peratus atau 50 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,861,069 setakat 12 tengah hari tadi.

Malaysia terus merekodkan trend peningkatan kes baharu Covid-19 dan kembali mencatatkan angka melepasi 5,000 pada Khamis (27 Jan) iaitu 5,439, selepas kali terakhir pada 10 Disember lepas diikuti 5,522 kes dilaporkan semalam.

“Daripada 5,139 kes, sebanyak 226 adalah kes import dan 4,913 kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 119 kes dan 69 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,767 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,777,715 orang.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak lima kluster baharu direkodkan dengan 291 kluster masih aktif setakat ini, sementara kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 dalam negara berada pada paras 1.15 dengan Negeri Sembilan dan Kedah masing-masing merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.19, setakat semalam.

-BERNAMA