Categories
ADN SELANGOR

ADN: 100 keluarga mangsa banjir Kampung Asahan dapat kelengkapan rumah

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 100 keluarga mangsa banjir di Kampung Asahan memperoleh bantuan kelengkapan rumah hasil sumbangan pelbagai pihak kelmarin, menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan dapur masak, periuk nasi dan keperluan asas diagihkan pada 30 Disember lalu diharap meringankan beban mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana dua minggu lalu.

“Ini semua hasil bantuan orang ramai yang dikumpulkan pusat khidmat masyarakat (PKM) Bukit Melawati untuk diedar kepada penduduk terjejas.

“Malah, (pada 31 Disember) kita terima tambahan 30 unit dapur masak dari badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu untuk disampaikan kepada penduduk di kampung lain dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi semalam.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berucap sempena program penyampaian bantuan kepada keluarga mangsa banjir di Stadium Kuala Selangor, Kuala Selangor pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Juwairiya

Sementara itu, Juwairiya berkata semua mangsa sekitar Kuala Selangor ditempatkan di PPS telah kembali ke kediaman masing-masing dan giat melaksanakan kerja pembersihan pascabanjir.

“Saya berterima kasih kepada sukarelawan dari luar, Sukarelawan Selangor (SERVE), Team Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak putus-putus membantu proses pembersihan rumah mangsa,” katanya.